KUALA LUMPUR: Malaysia akan mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 dengan lebih pantas jika semua kanak-kanak dan remaja di negara ini diberikan suntikan vaksin.
Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memaklumkan, itu antara perkara yang dipersetujui dalam webinar bertajuk 'Dos Penggalak COVID-19 dan Vaksinasi Kanak-Kanak: Bergerak ke depan dengan pengalaman China, Chile dan Indonesia'.
Webinar anjuran Pharmaniaga itu antara lain menampilkan Profesor dan Pengarah Institut Imunologi dan Imunoterapi Millennium Chile, Dr Alexis M Kalergis serta Pengarah Operasi PT Bio Farma dan Naib Pengerusi OIC-VMG dari Indonesia, Dr M Rahman Roestan.
Menurut Pharmaniaga, imuniti kelompok di Malaysia boleh dicapai lebih pantas menerusi vaksinasi kanak-kanak kerana individu berusia 18 tahun ke bawah di negara ini, merangkumi 28.3 peratus daripada 32.7 juta penduduk di negara ini.
"Vaksinasi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 11 tahun berkemungkinan akan menjadi keperluan untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas bagi menyokong perlumbaan melindungi keseluruhan populasi daripada pandemik COVID-19.
"Dengan wujudnya varian mudah berjangkit Wuhan dan varian lain yang tersebar dalam komuniti di seluruh negara serta menjelang pembukaan sekolah tahun depan, semua ibu bapa tidak sabar untuk kanak-kanak semua peringkat umur memiliki perlindungan daripada virus COVID-19.
"Ketika ini, hanya remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun layak menerima vaksin COVID-19. Namun, ia dijangka boleh diberikan kepada kumpulan umur lebih muda tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Pharmaniaga, vaksin COVID-19 keluaran Sinovac sudah diluluskan di China bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 17 tahun.
Katanya, majoriti kesan sampingan adalah sama ada ringan atau sederhana dan kemungkinan kesannya adalah rasa sakit biasa di tempat suntikan.
Sementara itu, M Rahman berkata, suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak penting bagi mencapai imuniti kelompok, namun lebih banyak ujian klinikal diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin kepada kanak-kanak.
"Kami kini dalam proses mendaftar vaksin untuk kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 17 tahun dan sudah menghantar ujian klinikal fasa satu dan dua kepada Penilaian Risiko Kebangsaan Indonesia (NRA). Hasilnya menunjukkan petanda baik berdasarkan profil keselamatan," katanya.
Kalergis pula berpandangan, vaksin Sinovac yang diberikan kepada kanak-kanak di China menunjukkan tahap keselamatan dan keberkesanan yang tinggi.
"Kami menerima saranan daripada Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Saintifik di Chile, yang mana mereka menyokong kelulusan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas.
"Setakat ini, ia berjalan lancar dan kesan sampingan juga amat jarang berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan