Isnin, 4 Oktober 2021

Tubuh RCI siasat Tommy, teliti 15 kes mahkamah babit PH yang digugur, desak Ahli Parlimen BN

Abdul Azeez Abdul Rahim turut mempersoal mengapa ketika PH memerintah 
tiada dakwaan berat sebelah seperti yang didakwa berlaku hari ini sedangkan 
banyak kes membabitkan pemimpin PH digugurkan ketika itu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata, RCI itu penting bagi merungkai isu yang mengheret beberapa pemimpin Umno ke mahkamah sehingga digelar sebagai pencuri, penyangak dan kluster mahkamah oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya usulkan kepada kerajaan bawah Ahli Parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) yang begitu prihatin dan cakna, ‘let us be gentleman’, kita wujudkan RCI Tommy Thomas atas pendakwaan yang dilakukan dan buku yang dikeluarkan beliau.

“Kita wujudkan RCI itu segera untuk merungkai, biar rakyat tahu mengenai pendakwaan itu, siapakah dalang atau adakah tangan ghaib yang memberi arahan tertentu untuk menangkap dan menuduh mereka, khususnya dalam kalangan kami (Barisan Nasional) dulu.

“Kita mesti berani kerana kita benar. Kita sudah setuju dengan RCI Tabung Haji dan harap kerajaan dapat laksanakan RCI Tommy Thomas. Kalau kerajaan, kepemimpinan Umno dan pembangkang daripada PH bersetuju menubuhkan RCI Tabung Haji, kenapa tidak melakukan perkara sama, iaitu menubuhkan RCI Tommy Thomas,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Dalam ucapannya, Azeez turut membidas tindakan pembangkang mempersoalkan keputusan mahkamah kononnya berpihak kepada pemimpin Umno baru-baru ini termasuk melibatkan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maszlan.

Katanya, pembangkang sepatutnya cermin diri dan menilai semula keputusan dibuat mereka ketika menjadi kerajaan apabila 15 kes mahkamah digugurkan, antaranya membabitkan pemimpin PH bawah pentadbiran mereka.

Jelasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga perlu menjelaskan bagaimana kes berkenaan boleh digugurkan ketika Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.

“Semasa PH memerintah, pada waktu itu Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) menjadi Timbalan Menteri Undang-nndang mengapa ia (15 kes digugurkan) berlaku, kenapa ada berat sebelah pada hari ini?

“Kita tahu kes rasuah, antaranya membabitkan Bagan (Lim Guan Eng), Rafizi Ramli (pemimpin PKR) dan banyak lagi yang dilepaskan (mahkamah), namun kami ketika itu sebagai pembangkang menghormati keputusan Peguam Negara dan mahkamah sebab kita ada undang-undang, kita mesti patuh,” katanya.

Azeez turut mempersoal mengapa mengapa hari ini pembangkang manipulasi segala keputusan dibuat, malah meminta Peguam Negara meletak jawatan sedangkan ketika mereka memerintah, BN yang menjadi pembangkang tidak mendesak perkara itu dan menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka.

“Ahli Umno dikenakan pembunuhan karakter dan didoktrin bahawa kami adalah kluster mahkamah, sedangkan apabila 15 kes digugurkan, tidak pula kami katakan mereka kluster mahkamah,” katanya

Azeez berkata demikian mengulas tindakan pemimpin pembangkang termasuk Hanipa minggu lalu mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) benar-benar bebas dan berintegriti, berikutan kononnya banyak kes membabitkan pemimpin Umno yang dibawa kepada pendakwaan dilepaskan di mahkamah termasuk membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan terbaharu membabitkan Ahmad Maslan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM selepas beliau membayar kompaun RM1.1 juta.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan wang yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam.

Tiada ulasan: