Isnin, 4 Oktober 2021

Semak semula data individu ‘jatuh miskin’ akibat COVID-19

Zuhayati

Pangkalan data tunggal diperlukan, mudahkan saluran bantuan

BANGI –Pangkalan data tunggal berhubung maklumat kemiskinan sangat diperlukan bagi menangani isu pertindihan dan keciciran dalam menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar.

Data itu penting untuk menyelaraskan bantuan serta latihan kepada kumpulan sasar di peringkat daerah, kata Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Beliau berkata, jika di beberapa negeri, mereka ada pangkalan data tersendiri selain eKasih di peringkat Persekutuan.

“Jadi, apa yang perlu ditambah baik adalah sepatutnya hanya ada satu sahaja pangkalan data.

“Mungkin eKasih boleh dijadikan pangkalan data tunggal untuk semua dan ini dilihat lebih memudahkan kerajaan mengatasi sebarang masalah pertindihan dan sebagainya,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Selain itu,Prof Wan Ahmad turut mencadangkan kerajaan menyemak kembali data individu yang jatuh miskin disebabkan COVID-19 dengan mengkategorikannya sebagai miskin situasi.

“Data terbabit boleh kita peroleh daripada agensi kerajaan berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kita juga boleh menambah satu lagi elemen iaitu data terbuka. Ini bermakna, sesiapa sahaja di lapangan, contoh badan bukan kerajaan (NGO) boleh memeriksa sama ada individu terbabit miskin, sudah menerima bantuan atau sebaliknya,” katanya.

Justeru itu, katanya penambahbaikan berkaitan pangkalan data amat penting bagi menangani isu pertindihan dan keciciran bantuan kepada kumpulan sasar.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pembasmian kemiskinan termasuk segala bantuan dan latihan kepada kumpulan sasar akan diselaraskan pada peringkat daerah di bawah ICU JPM yang akan memantau pada peringkat Persekutuan.

Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu bagi memastikan usaha membantu dan meningkatkan sosio ekonomi rakyat miskin di seluruh negara dapat dilaksanakan dengan lebih fokus melalui pemantauan khusus oleh penyelaras di pejabat daerah, bukan lagi oleh kementerian atau agensi berbeza.

Tiada ulasan: