Rabu, 27 Oktober 2021

Rayuan kes dadah, anak Mat Sabu dibebaskan


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan rayuan anak Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan membebaskannya daripada sabitan kes dadah hari ini.

Mahkamah membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam, 33 tahun, untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukuman penjara lapan bulan berhubung kes penyalahgunaan dadah.

Peguam tertuduh, Nasar Khan mengesahkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuan itu.

Pada 24 Jun tahun lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati Ahmad Saiful bersalah atas kesalahan itu, dan menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan.

Ahmad Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi pada 5 Jan tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah rendah memerintahkan Ahmad Saiful menjalani hukuman penjara mulai 24 Jun tahun lepas. Bagaimanapun, ia membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk tertuduh, hadir ke kandang saksi semasa perbicaraan bermula 15 Okt 2019.

Pada 19 Jun 2019, media melaporkan Ahmad Saiful didakwa enam hari sebelum itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil dadah itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

 

Tiada ulasan: