Ahad, 17 Oktober 2021

Perletakan jawatan Pengerusi TH tiada kaitan tekanan politik

azrulhakimie

'Satu perkara biasa sekiranya pengerusi mana-mana GLC bertukar'

KOTA BHARU – Perletakan jawatan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Md Nor Yusof tiada hubung kait dengan sebarang tekanan politik, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

“Satu perkara biasa sekiranya pengerusi mana-mana GLC (syarikat berkaitan kerajaan) bertukar… dalam soal Tabung Haji ini ia tidak ada kaitan dengan tekanan politik daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Foodbank TH di sini hari ini.

Jelasnya kalau disebabkan wujudnya tekanan politik, ia tidak benar walaupun pengerusi yang meletak jawatan itu dilantik semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ketika zaman (pentadbiran) Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri ketika itu) tidak ada pertukaran, dan sekiranya kita mahu katakan disebabkan tekanan politik, sudah pasti kena tukarlah (ketika itu).

“Kita melihat perkara ini kepada kesesuaian zaman dan perancangan strategik yang memerlukan kepakaran lain untuk bergerak lebih laju dalam memacu TH,” katanya.

Semalam Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan mengumumkan Md Nor telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH. – Bernama

Tiada ulasan: