KUALA LUMPUR: Perbuatan mengintai dan menghendap boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah apabila memberi kesan kepada privasi seseorang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ini terutamanya apabila perbuatan itu mengundang kesan lebih teruk kepada mangsa hingga menyebabkan keganasan, depresi, kemurungan dan bunuh diri.
"Ramai tidak sedar, sebenarnya mereka sedang diintip atau dihendap. Malah ada mangsa yang gagal mendapat pembelaan ke atas dirinya hingga menjejaskan kesihatan mental dan diri.
"Saya juga memandang serius aktiviti mengendap di media sosial yang mungkin dianggap perkara biasa oleh pengguna yang menggunakannya untuk menghendap dan mengganggu mangsa.
"Kajian dijalankan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkaitan mangsa hendap tahun lalu turut konsisten dengan statistik negara maju lain yang memerlukan perhatian dan tindakan," katanya menerusi kenyataan media.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan BH Selasa lalu mengenai gesaan 51 badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang mahu kerajaan segera menyediakan peruntukan undang-undang bagi mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai kesalahan jenayah.
Pegawai Advokasi Kanan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rusni Tajari, berkata selagi menghendap tidak diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah di negara ini, mangsa dan ribuan lagi rakyat di negara ini yang dihendap setiap tahun, kekal tanpa perlindungan.
Rusni berkata, sejak awal tahun lalu, draf pindaan undang-undang kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah sudah disediakan Jawatankuasa Anti Menghendap yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan 51 NGO itu meminta tindakan segera diambil bagi memastikan usaha ini tidak tertangguh lagi.
Mas Ermieyati berkata, beliau sudah bertemu dengan wakil WAO pada 10 Ogos lalu berkaitan isu ini.
Susulan itu, katanya, satu sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat bersama jawatankuasa berkaitan terdiri daripada pemegang taruh termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan WAO sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan