Isnin, 4 Oktober 2021

Mohon sijil khas jika tidak boleh divaksin atas faktor perubatan, kata menteri

BERNAMA

Khairy berkata mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor perubatan seperti alahan kepada vaksin, perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat mereka.

Individu yang tidak boleh menerima vaksin Covid-19 atas faktor perubatan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui pejabat kesihatan daerah (PKD).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor perubatan seperti alahan kepada vaksin, perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat mereka.

Beliau berkata individu terlibat perlu hadir ke PKD dan mengemukakan borang khas “Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu” yang disahkan oleh pakar perubatan.

“Borang khas itu hendaklah disahkan oleh pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu berkenaan, pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang berpakar atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.

“Sijil digital melalui MySejahtera itu akan diperoleh dalam tempoh satu minggu jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengenai alternatif untuk individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan itu untuk tujuan pergerakan fizikal.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pakar perubatan juga akan menasihatkan individu berkenaan bagi pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian.

“Jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan, manakala jika disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab perubatan, individu itu perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dengan lebih ketat secara kendiri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah berhubung tindakan kerajaan terhadap individu antivaksin dan mereka yang bergantung kepada kad vaksinasi, Khairy berkata seperti yang ditetapkan kerajaan terdapat beberapa kelonggaran yang hanya diberikan kepada mereka yang lengkap vaksinasi.

Bagi penerima vaksin yang tidak mempunyai peranti digital pula, golongan itu boleh menggunakan kad vaksinasi yang diterima di pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai bukti vaksinasi dan sekiranya kad itu hilang perlu dilaporkan di PKD terdekat, kata Khairy.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan kerajaan tidak menafikan hak setiap individu yang berada di negara ini untuk divaksin termasuk penduduk yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap kewarganegaraan atau masalah status imigresen.

“Dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah no wrong door policy (semua diterima dan dilayan)… yang penting bukan status imigresen tapi soal kesihatan awam, sebab itu kita utamakan vaksinasi kepada semua yang ada di Malaysia,” katanya menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai pemberian vaksin kepada individu tanpa dokumentasi lengkap kewarganegaraan dan pendatang tanpa izin.

Tiada ulasan: