NAMPAK ada logo halal, namun logo itu hanyalah ‘khayalan’ kerana bukan diperakui pihak berkuasa.
Isu ini juga bukan baru bahkan sering menjadi ‘mimpi ngeri’ buat pengguna Islam yang terpedaya mempercayai sesuatu produk khususnya makanan mempuyai perakuan halal sah.
Terbaru, pemilik syarikat pengeluar mi kuning dan kuetiau didakwa kerana menggunakan logo halal tanpa perakuan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).
Untuk makluman, jenama mi dan kuetiau tersebut ialah ‘Angsana’.
Pemilik syarikat itu, Teoh Sue Guat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menjalankan perniagaan menggunakan logo halal tanpa perakuan Jaipk Jun lepas.
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat Sue Guat selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangasar, Rohaida Ishak.
Memetik laporan Bernama, lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan yang telah melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Kesalahan itu adalah menggunakan logo halal tanpa mendapatkan perakuan daripada JAIPk pada 26 bungkus kuetiau dan 11 bungkus mi jenama Angsana.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Angsana Kangsar, Kawasan Perindustrian Kuala Kangsar pada 11 pagi, 22 Jun mengikut Perintah 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan