Sabtu, 23 Oktober 2021

Macam mana nak pancing undi orang muda

Parti Sarawak Bersatu percaya sebarang percubaan untuk mempercepatkan Pilihan Raya Negeri Sarawak akan dilihat sebagai “langkah nafikan Undi18”.

Dalam lain perkataan, percepatkan PRN Sarawak adalah “usaha menafikan hak mengundi golongan yang berusia 18 hingga 20 tahun.” Itu pendapat PSB yang disuarakan presidennya, Wong Soon Koh, tempoh hari.

Pendapat itu dibuat ketika spekulasi bertebaran ada usaha untuk mengadakan PRN Sarawak serentak dengan PRN Melaka yang tarikh buang undi sudah pun ditetap SPR iaitu 20 November.

Bagaimanapun, semalam, Ketua Menteri Abang Johari Openg menegaskan dakwaan Wong itu tidak berasas, dan menjelaskan ‘timing’ untuk mengadakan PRN Sarawak tidak dipengaruhi sama sekali oleh pelaksanaan Undi18 tetapi untuk memenuhi proses demokrasi.

Seperti kita maklum PRN Sarawak telah ditangguhkan sehingga Februari tahun depan berikutan pengisytiharan darurat negeri itu. Tempoh darurat Sarawak tamat Februari 2022.

Bagaimanapun 3 September lalu Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan kerajaan pusat menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun di seluruh negara menjelang 31 Disember ini.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan pusat memutuskan untuk melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Disember tahun ini.

Isu ini dibawa ke mahkamah oleh lima anak muda yang menggelar diri mereka “Kumpulan Undi Sarawak” apabila SPR mengumumkan penangguhan pelaksanaan Undi18 termasuk pendaftaran pemilih automatik hingga 1 September tahun depan.

Apa pun, syak wasangka seperti yang diluahkan presiden PSB tidak kedengaran di Melaka. Yang pasti, golongan muda 18 tahun ke 20 tahun tidak akan mengundi di PRN Melaka. Namun boleh dinyatakan hampir pasti mereka boleh mengundi pada pilihan raya mendatang khususnya PRU15.

Usul Undi18 dibawa oleh Pakatan Harapan semasa ia memerintah negara. Pada Julai 2019 usul itu diluluskan sebulat suara di Parlimen. Semua 211 Ahli Parlimen (kerajaan dan pembangkang) menyokong Undi18.

Ketika itu, ramai pemerhati serta penganalisis politik berpendapat Pakatan Harapan lah yang tidak akan mendapat manfaat daripada langkah “memudakan” pengundi walaupun merekalah yang memperjuangkan Undi18.

Pendapat itu berdasarkan anggapan golongan muda kebiasaannya “anti-establishment”. Merdeka Centre masa itu menganggarkan jumlah pengundi Bumiputera akan naik daripada 62% kepada 64.4% berikutan Undi18. Bumiputera ertinya Melayu dan Orang Asli dan juga komuniti suku kaum lain. Kebanyakan mereka tidak menyokong Pakatan Harapan berdasarkan pengundian PRU14.

Penganalis politik Oh Ei Sun memberitahu saya ketika itu beliau menjangkakan PAS akan mendapat untung dengan langkah Undi18 kerana parti itu telah menjalankan usaha “Islamisasi” berterusan termasuk ke atas golongan muda Melayu Islam. Oleh kerana Umno ketika itu telah bersatu dengan PAS, parti itu juga dikatakan akan dapat untung.

Namun tidak dinafikan ramai juga anak muda Melayu-Islam yang tidak tertarik dengan “cara Islam PAS mahupun cara Melayu Umno”.

Itu saya tulis pada 2019. Bagaimana keadaannya sekarang? Rasanya pendirian orang muda Melayu-Islam yang tidak berkenan dengan “cara Islam PAS dan cara Melayu Umno” masih begitu.

Tetapi tidak dinafikan orang muda Melayu-Islam yang minat PAS dan Umno juga ramai. Terutama yang mengaku sudah “berhijrah ke jalan agama” dan “sudah teramat sayang bangsa”.

Bagaimana pula pendirian mereka terhadap Pakatan Harapan?

Apa pun, pengundi Bumiputera, khusus Melayu-Islam, yang layak menerusi ‘Undi18’ akan menjadi sasaran utama parti politik untuk menambah ‘vote bank’ masing-masing. Pujuk mereka, dapatkan undi, dan pasti menang pilihan raya. Itu ringkasnya misi dan matlamat mereka.

Persoalannya macam mana nak dapat undi golongan yang mengundi buat kali pertama? Tentunya sentimen bangsa dan agama dimain sepenuhnya.

Adakah pengundi baharu berusia 18 tahun hingga 20 tahun cukup matang untuk membuat keputusan amat penting, ketetapan sekaligus buat pilihan tepat?

Kata wartawan veteran Zin Mahmud semasa saya menulis mengenai persoalan ini tiga tahun lalu, penurunan usia pengundi mesti selaras dengan pendidikan demokrasi “tanpa itu kacau dibuatnya”. Ada yang mengatakan kematangan politik bukan isu dan kematangan seseorang bukan diukur dengan usia.

Bagi Dr Khoo Ying Hooi (yang ketika itu pensyarah kanan Universiti Malaya), masanya sudah tiba Undi18 dan negara mesti bergerak ke depan dengan mengukuhkan sistem pendidikan dan lain bidang berkaitan.

Nyata, hujah mereka tetap relevan dalam keadaan negara masa sekarang. Malah penekanan terhadap pendidikan amat diperlukan.

Usia 18 tahun ialah remaja yang baharu lepas pendidikan sekolah menengah. Tiga tahun lalu persoalannya ialah adakah mereka akan mudah dipengaruhi janji-janji parti politik? Soalan itu bagi saya masih relevan.

Orang muda berbeza-beza tuntutan, keperluan, dan pemikiran. Bergantung kepada cara atau bagaimana mereka dibesarkan dan diasuh, status keluarga, serta di mana mereka tinggal dan juga tahap pendidikan. Itu antara faktor penentu.

Satu lagi persoalan penting ialah sekiranya parti politik cuba mensasarkan golongan pelajar berusia 13-14 tahun sebagai “persiapan awal” untuk mendapatkan undi mereka beberapa tahun kemudian.

Tidak ada budak semuda itu yang faham apa lagi gemar politik. Jadi bagaimana mahu menarik minat mereka? Apa janji yang mesti diberi supaya ia terus tertanam sehingga mereka berusia 18 tahun?

Tentunya untuk golongan ini, pelbagai aktiviti boleh diatur secara licik dan berselindung di sebalik kegiatan riadah dan sukan untuk menanam dan memupuk kesetiaan mereka kepada parti berkenaan.

Atau pun parti politik mahu menjanjikan lebih banyak konsert, rancangan hiburan, atau kasut sukan berjenama dengan harga murah?

Bagi saya, sasaran parti politik ialah golongan ibu bapa. Mereka akan berkempen untuk menyakinkan ibu bapa supaya menyakinkan anak masing-masing menyokong mereka.

Lazimnya anak akan ikut kata ibu bapa. Kalau ibu bapa undi parti A, parti A lah yang anak akan undi. Lazimnya begitu. Bukan satu kepastian.

Tiada ulasan: