Sabtu, 16 Oktober 2021

Enam negeri, Lembah Klang beralih fasa PPN mulai Isnin: PM


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Melaka dan Lembah Klang akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala lima negeri lagi memasuki Fasa Tiga, mulai Isnin ini.

Lima negeri terbabit ialah Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah. Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

“Dengan peralihan fasa bagi negeri yang dinyatakan, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa Tiga dan Empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan jangkitan di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan merekodkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Tiada ulasan: