KUALA LUMPUR : Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tanpa pindaan pada jam 6.25 petang.
Usul itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Oktober lalu, disusuli sesi perbahasan yang bermula pada hari sama, berlangsung empat hari sehingga Isnin lalu.
Sesi penggulungan RMK-12 pula bermula semalam, membabitkan 30 menteri serta timbalan menteri yang menggulung perbahasan bagi setiap peringkat kementeriannya, dengan penggulungan terakhir dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat berkata, usul RMK-12 itu diluluskan sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Negara.
RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, selepas dibentang pada 27 September oleh Ismail Sabri dan dibahas 106 Ahli-ahli Parlimen.
Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung RMK-11, selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK-12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lalu kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang awal bulan ini.
Usul RMK-12, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan terbesar berjumlah RM400 bilion berbanding RM260 bilion dalam RMK-11, adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Mustapa ketika menggulung perbahasan berkata, kerajaan mengakui beberapa perkara yang terkandung dalam RMK-11 tidak mencapai sasarannya disebabkan pelbagai perkara termasuk krisis ekonomi dunia, krisis minyak, krisis Asia serta terkini pandemik COVID-19.
"Maka kerajaan sudah membuat keputusan supaya dipantau secara teliti pelaksanaan RMK-12 dengan mengadakan satu pelan pelaksanaan dasar.
"Mesyuarat pertama akan kita adakan dalam sedikit masa lagi yang akan dipengerusikan Perdana Menteri. Kita harap ini akan dapat mengurangkan masalah pencapaian yang kurang menggalakkan (seperti dalam RMK-11)," katanya.
Beliau berkata, dalam menjayakan RMK-12 juga, kerajaan mengambil kira pandangan semua termasuk bersedia untuk mengadakan sesi libat urus khusus bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan