Rabu, 27 Oktober 2021

Calon PN guna satu lambang: Muhyiddin


Semua parti gabungan Perikatan Nasional (PN) – Bersatu, PAS dan Gerakan – sepakat untuk menggunakan lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Pengerusi PN itu berkata keputusan menggunakan satu lambang itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen – Bersatu, PAS, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

“Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya Dewan Undangan Negeri negeri Melaka.

“Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengenai kerusi yang akan ditandingi, bekas Perdana Menteri itu berkata ia akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN dalam masa terdekat.

Menurutnya Majlis Tertinggi PN juga memutuskan semua parti komponen menggerakkan segera jentera pilihan raya masing-masing, serta menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi mendapat kepercayaan rakyat Melaka, sekali gus memenangi PRN itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November (pengundian awal) dan pengundian biasa pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Susulan itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Tiada ulasan: