Selasa, 26 Oktober 2021

Belanjawan pastikan daya tahan selepas wabak

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini, perlu memberi tumpuan kepada pemulihan dan daya tahan ekonomi pasca COVID-19.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata belanjawan itu perlu menyentuh lapan perkara bagi memastikan ia inklusif serta selaras semasa dialami rakyat dan negara.

Katanya, lapan perkara itu ialah perlindungan golongan mudah terjejas; kesihatan mental; mengukuh peranan persatuan penduduk; keselamatan jalan raya; peluang menjana pendapatan; pengurusan alam sekitar dan haiwan; keselamatan tempat kerja; serta penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, peruntukan khusus perlu bagi mengatasi isu keciciran dan jurang pendidikan dalam kalangan pelajar yang berlaku akibat COVID-19.

"Kami juga mencadangkan lebih banyak peruntukan disediakan bagi merapatkan jurang digital dalam pendidikan.

"Jurang digital dikesan berlaku antara golongan berada di bandar dengan golongan miskin bandar, selain di antara bandar dan luar bandar, yang boleh menyumbang kepada tahap akademik yang lebih rendah.

"Bagi pelajar yang berisiko untuk keciciran sekolah, kemungkinan besar akan hilang minat dan akan terus tercicir," katanya dalam kenyataan.

Lam Thye berkata, kerajaan perlu menyediakan peruntukan khusus bagi program kemasyarakatan dan jaringan keselamatan sosial, bagi memberi sokongan kepada individu yang berdepan isu kesihatan mental.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan wajar memberi peruntukan RM10,000 kepada persatuan penduduk berdaftar bagi menjalankan aktiviti seperti berkaitan keselamatan komuniti, kesihatan mental dan kesejahteraan serta gaya hidup sihat melalui kebun komuniti.

Berhubung keselamatan jalan raya, Lam Thye menyarankan kerajaan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2022 untuk membina laluan motosikal di semua jalan sedia ada, bagi mengurangkan kemalangan membabitkan pengguna motosikal.

"Kami juga mencadangkan kerajaan memberi rebat untuk majikan membeli kelengkapan perlindungan diri, bagi memastikan keselamatan di tempat kerja, serta pengurangan duti import untuk peralatan keselamatan.

"Kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan lebih banyak untuk sektor kesihatan, terutama berkaitan peningkatan sumber manusia dan jawatan tetap tenaga kerja kesihatan supaya negara dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang mampan," katanya.

Tiada ulasan: