Khamis, 7 Oktober 2021

15 ADUN Melaka ke Istana Negara esok

 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Norhizam Hassan Baktee

MELAKA – Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan bertolak ke Istana Negara esok bagi menyerahkan memorandum berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu ‘double standard’ dalam pengisytiharan pembubaran DUN yang diumumkan kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan oleh ADUN Bebas dari Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

Beliau berkata, perkara tersebut dicadangkan oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan dipersetujui oleh barisan ADUN yang lain selepas mendakwa menjadi mangsa situasi ‘pilih kasih’ dan pembubaran DUN yang dibuat secara tergesa-gesa.

“Kami berdukacita kerana 15 wakil rakyat berjaya membentuk majoriti secara fizikal dan undang-undang tetapi kami telah menjadi mangsa double standard mereka (kerajaan negeri).

“Datuk Seri Idris mencadangkan kesemua kami 15 ADUN untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok dengan menaiki bas ke Istana Negara untuk menyelesaikan krisis ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pengisytiharan pembubaran DUN melalui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang dikatakan atas persetujuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam juga menimbulkan kesangsian.

“Keputusan pembubaran DUN ini tidak wajar dan mengikut laporan akhbar juga Tun sedang menjalani tempoh kuarantin kendiri sehingga Khamis ini.

“Kami sebulat suara dan dengan rendah diri menyatakan ketidakpuasan hati kerana kami tidak dapat bertemu dengan Tun tetapi Rauf pula boleh berjumpa dengannya. Sepatutnya pertemuan secara dalam talian boleh dilakukan sepertimana dibenarkan dalam sidang DUN sebelum ini.

“Namun sehingga kini kami tidak dapat apa-apa maklum balas daripada pejabat TYT atau Istana Melaka, sekali gus menunjukkan wujudnya double standard pihak kami dengan kerajaan negeri,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, keputusan pembubaran itu juga dilihat tidak selari dengan amalan kerajaan Pusat di mana Seri Paduka Baginda telah mendapatkan nasihat daripada semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hakim Negara dan Peguam Negara sebelum satu keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat. – K! ONLINE

Tiada ulasan: