Thursday, September 2, 2021

Syor suntikan booster diketahui akhir bulan ini

 Oleh NOR IDAYU BOSRO

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebuah jawatankuasa kumpulan pakar ditubuhkan untuk meneliti dan memberikan syor serta cadangan berkaitan pemberian suntikan booster atau penggalak vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jawatankuasan itu akan menilai beberapa aspek antaranya sela masa suntikan selain pemberian vaksin daripada jenis sama (homologous) atau jenis berbeza (heterologous).

“Kita harap akan memperoleh rekomendasi daripada jawatankuasa tersebut menjelang akhir bulan ini bagi membolehkan pengumuman terhadap polisi suntikan booster ini dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berhubung pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya berharap ia dapat dilaksanakan pada bulan ini bergantung kepada bekalan vaksin negara.

Beliau bagaimanapun berkata, prioriti program vaksinasi ketika ini adalah dalam kalangan kumpulan dewasa yang masih belum mendapat imunisasi.

“Kita sedang menunggu untuk memulakan vaksinasi kepada kumpulan umur remaja ini.

“Apabila kadar imunisasi dewasa mencecah tahap mencukupi, barulah kita akan memulakan imunisasi kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Khairy Jamaluddin memaklumkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masih belum mendapat kelulusan dan sedang diteliti agensi berkaitan termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

Begitupun katanya, beliau dimaklumkan oleh Pfizer bahawa syarikat itu sedang membangunkan vaksin khusus kepada golongan kanak-kanak dengan tahap dos berlainan daripada dos dewasa. -K! ONLINE

No comments: