Wednesday, September 22, 2021

Sanusi dakwa Mukhriz pindah wang RM13 juta ke Kanada

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

 

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) berjumlah RM13 juta dipindahkan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke akaun luar negara ketika memegang jawatan itu.

Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan Mukhriz ke akaun di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

"Saya tak ungkit hal lama, ini zaman Mukhriz jadi Menteri Besar, bila dibangkitkan baru saya jawab hal lama pemindahan wang MBI sebanyak RM13 juta ke satu akaun luar negara di Kanada.

"Saya tak pernah sebut pada sesiapa pun, hari ini baru saya sebut dan slip bank pemindahan wang itu saya ada simpan," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Muhammad Sanusi turut mendedahkan, selepas mengambil alih pentadbiran negeri tahun lalu, pihaknya terpaksa mengeluarkan RM1.3 juta sebagai bayaran kuih raya yang dibeli kerajaan terdahulu.

"Bila saya jadi kerajaan, dibawa dalam Mesyuarat EXCO untuk bayar satu perbelanjaan yang dibuat penasihat Menteri Besar sebelum ini untuk bekalkan kuih raya.

"Harga begnya lebih mahal daripada kuih raya menyebabkan kita terpaksa bayar hingga RM1.3 juta. Sebab itu saya kata beliau bukan dikelilingi penasihat tetapi 'punah sihat' kerana harga beg lagi mahal daripada kuih," katanya.

Mengulas mengenai desakan wakil pembangkang diberi lebih banyak masa berbahas ketika sidang DUN, beliau meminta mereka lebih banyak berada di kawasan masing-masing sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini.

"Saya harap waktu pandemik ini wakil rakyat berada di DUN masing-masing lihat keperluan rakyat, ada wakil rakyat ini tinggal di Kuala Lumpur dan sekali-sekala pulang tengok kawasan, lepas itu datang DUN mengadu tak dapat bercakap.

"Saya nasihatkan mereka berada di DUN masing-masing pada waktu ini sehingga pandemik masuk ke fasa endemik. Rumah di KL ada tak apa, tetapi bagi ada rumah di sini sama," katanya.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, dakwaan beliau memindahkan wang milik MBI berjumlah RM13 juta ke akaun luar negara dianggap sebagai tuduhan yang serius.

Mukhriz berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

"Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau (Muhammad Sanusi) tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah langgar dan lari.

"Dakwaan ini perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu," katanya pada sidang media secara dalam talian selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya membuat laporan polis jika yakin perkara itu berlaku.

"Ini kali pertama saya dengar mengenai kejadian ini. Jadi saya ingin sarankan Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau beliau benar-benar percaya benda itu berlaku.

"Dalam Sidang DUN hari ini, beliau (Muhammad Sanusi) baru ditegur agar berhati-hati beri kenyataan. Jadi apabila beliau buat kenyataan begitu dalam sidang akhbar, itu satu dakwaan serius," katanya.

No comments: