Tuesday, September 21, 2021

RM15 juta baik pulih infrastruktur awam KL - Shahidan

BH ONLINE
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meluangkan masa melawat Surau Quba Pangsapuri Melur Bandar Baru Sentul dan Perumahan Awan Seri Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meluangkan masa melawat Surau Quba Pangsapuri Melur Bandar Baru Sentul dan Perumahan Awan Seri Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur awam di ibu negara di bawah program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi 2.0 (PEMERKASA 2.0).

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata peruntukan itu meliputi 26 projek kecil yang majoritinya di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Majoriti pelaksanaan projek diterima daripada komuniti melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, berdasarkan kepada keperluan kritikal yang memerlukan baik pulih serta-merta bagi mengelakkan risiko boleh menjejaskan keselamatan awam," katanya pada media selepas melawat Surau Quba Pangsapuri Melur, Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.

Shahidan berkata, kementerian melalui DBKL menawarkan kerja-kerja kepada kontraktor G1 terpilih yang berjaya memenuhi syarat ditetapkan bagi merangsang semula ekonomi semasa tempoh pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini termasuk projek-projek mengecat semula bangunan, membaiki atau mengganti kerosakan infrastruktur asas dan kemudahan awam.

"Keseluruhan projek baik pulih dan menaik taraf ini telah mencapai 25 peratus kemajuan kerja sejak dimulakan pada Julai lalu dan dijangka siap November ini," katanya.

Shahidan berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif bagi mempertingkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia selain merangsang kembali ekonomi di Wilayah Persekutuan agar matlamat My City My Home tercapai. – BERNAMA

No comments: