KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM700 daripada seorang lelaki bagi melepaskan suspek yang terbabit dalam kes memiliki air ketum pada Dis tahun lalu.
Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 tengahari hingga 2 petang di Balai Polis Kuantan pada 25 Dis 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin.
Mohamed Syaffiq yang kini digantung kerja merayu agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan dia perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun serta menjaga ibunya yang uzur.Timbalan pendakwa raya memohon mahkamah menetapkan RM10,000 bagi ikat jamin, namun hakim membenarkan rayuan tertuduh dan memutuskan kadar ikat jamin RM7,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 25 Okt ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah.
No comments:
Post a Comment