KUALA LUMPUR: Polis tiada menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata beliau, pihaknya mengambil maklum berkaitan berita yang tular di media sosial mengatakan tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang itu.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengesahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini.
"Kita nasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Abd Jalil lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.
Terdahulu, tular satu laporan di sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Individu terbabit dikatakan sudah dilepas tanpa bebas oleh mahkamah dan mahu menuntut semula wang tunai yang dirampas itu namun ia hanya tinggal sebahagian dengan selebihnya adalah wang palsu.
Penulis blog itu mendakwa individu itu membuat satu laporan polis namun polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman.
Dia turut mendakwa, tiga pegawai kanan itu direman selama enam hari namun kes itu 'disenyapkan' oleh pihak SPRM.
No comments:
Post a Comment