Saturday, September 18, 2021

Mayat bayi ditemukan dalam tong kitar semula

KUALA LUMPUR: Mayat bayi ditemui orang awam dalam tong kitar semula di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, Bangi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pekerja syarikat kitar semula yang menemui mayat bayi dalam plastik, pada jam 4.41 petang.

"Siasatan awal mendapati pekerja itu sedang mengumpul barang kitar semula ketika menemui bungkusan plastik berkenaan.

"Bungkusan yang berbau busuk itu kemudian dibuka yang membawa kepada penemuan mayat bayi dibalut dengan kain," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Zaid berkata, mayat bayi itu dianggarkan seberat antara dua hingga tiga kilogram dan dipercayai meninggal dunia kurang daripada 36 jam.

"Mayat bayi yang masih tidak dipastikan jantinanya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh di talian 017-4333795 atau mana-mana balai polis berhampiran.

No comments: