Perbincangan diadakan bersama Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan mencari titik penyelesaian interim yang lebih baik berhubung isu serta permasalahan yang dihadapi pegawai kesihatan lantikan kontrak.
Khairy menyatakan komitmen itu menerusi perbincangannya bersama Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang diadakan secara maya tengah hari tadi.
“Beberapa perkara telah dibangkitkan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi penjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan profesion mereka,” katanya menerusi catatan di laman Facebook hari ini.
Awal Julai lepas, sekumpulan doktor kontrak di Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan pergerakan #HartalDoktorKontrak, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung jawatan tetap dalam sektor kerajaan bagi kira-kira 23,000 pegawai kesihatan kontrak, di seluruh negara.
Susulan itu, kerajaan mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun, selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran. – Bernama
No comments:
Post a Comment