Monday, September 20, 2021

Kes saman Mujahid terhadap Harakah berhubung isu Sajat bertelekung selesai

Bernama
Kes saman Mujahid terhadap Harakah berhubung isu Sajat bertelekung selesai
Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti LGBT. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Mujahid Yusof terhadap Harakah berhubung isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah, selesai melalui proses mediasi.
 
Perkara itu dimaklumkan peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid ketika dihubungi Bernama, selepas prosiding secara dalam talian (Zoom) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan hari ini.
 
"Mahkamah hari ini telah merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua belah pihak untuk kes diselesaikan.
 
"Antara penyelesaian kes itu ialah defendan pertama (wartawan Harakah Aziz Muda) akan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Datuk Seri Mujahid di akhbar Harakah, dan menarik balik artikelnya bertajuk Sajat: Mujahid dan K'jaan PH patut dipersalahkan dan Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH," kata peguam itu.
 
Namun, Noorazmir berkata terma-terma penyelesaian lain yang terkandung di dalam penghakiman persetujuan itu tidak dapat didedahkan.
 
Perbicaraan kes itu ditetapkan pada 30 Ogos lepas, namun sebelum prosiding bermula mahkamah menyarankan supaya kes saman itu diselesaikan secara baik menerusi proses mediasi.
 
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lepas, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.
 
Dalam penyataan tuntutannya Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lepas, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di laman sesawang harakahdaily menerusi artikel bertajuk 'Sajat: Mujahid dan K'jaan PH patut dipersalahkan' serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel 'Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH'.
 
Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti 'Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT)' selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.
 
Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, 
kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.
 
Sementara itu, kesemua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 28 September tahun lepas berkata Mujahid seharusnya berani bertanggungjawab berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau, dan sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan masyarakat terutama pengamal media berhubung isu tersebut.-- BERNAMA

No comments: