PETALING JAYA: “Kecuaian” polis hingga menyebabkan seorang ibu tunggal terpaksa bermalam di lokap di Taiping walaupun sudah membayar wang jaminannya, menunjukkan bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu diwujudkan segera, kata Ahli Parlimen DAP.
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata, polis mesti bertanggungjawab atas insiden membabitkan ibu tunggal kepada lima anak, Saroja Devi Krishnan yang kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Alasan yang diberikan polis adalah penjaminnya gagal mendapatkan surat pelepasan daripada mahkamah. Penjamin ialah anak perempuannya yang begitu terganggu dengan masalah itu. Disebabkan ini, ibunya bermalam di lokap bersama penagih dadah.
“Ibu tunggal berusia 46 tahun itu digari, dibawa ke balai polis dan terpaksa bermalam semalaman di lokap hanya kerana anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang jiran pada Julai.
“Ini semua hanya kerana polis enggan mengesahkan dakwaannya yang telah membayar jaminan,” kata bekas menteri sumber manusia itu dalam kenyataan kepada FMT.
Menurut Kula Segaran, polis bukan sahaja tidak membantu penjamin itu, sebaliknya menahan pula ibunya secara tidak adil pada Jumaat walaupun mengetahui wanita itu perlu bermalam tiga hari kerana mahkamah ditutup pada hujung minggu.
“Mujur Majistret Adibah Kadir campur tangan bagi memastikan mangsa dibebaskan pada hari berikutnya pada Sabtu,” katanya sambil berkata polis mahkamah yang bertugas perlu menjelaskan tindakannya yang mengabaikan tugas.
“Di mana pertimbangan dan rasa empati? Adakah perkara ini berlaku kerana tiada siapa yang mengawasi tugas polis? Terdapat banyak kes seperti ini dan ini hanya sebahagian kecil sahaja.
“Kes kematian dalam tahanan polis masih berleluasa. Kita amat memerlukan kewujudan IPCMC untuk mengawasi polis. Suruhanjaya seperti itu diperlukan apabila kini lebih ramai orang awam takut untuk membuat laporan terhadap polis.”
Beliau berkata perkara itu sepatutnya selesai selepas Saroja mengaku bersalah atas tuduhan cuai di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan telah menjelaskan wang jaminan.
“Apa yang berlaku selepas itu membuktikan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam pasukan polis. Sepatutnya ada prosedur operasi standard (SOP) ketat mengenai bagaimana untuk menguruskan individu yang telah ditahan dan didakwa.
“Cukuplah. Berapa lama lagi rakyat Malaysia perlu menderita akibat ketidakcekapan ini?”
Kula Segaran berkata Saroja Devi yang ditemui di rumahnya semalam, menceritakan semula insiden yang memalukan itu dan masih terkesan akibat penahanan berkenaan.
“Aktivis awam tempatan dan peguam P Ravee akan membantunya untuk mencabar tindakan itu secara undang-undang. Saya harap keadilan dapat ditegakkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment