GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kesungguhan kerajaan negeri mahu Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) diteruskan menunjukkan mereka mempunyai agenda lain berbanding kepentingan rakyat.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, perkara itu terbukti apabila kerajaan negeri nekad mahu memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengetepikan kelulusan terhadap Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) PSR.
Jelas beliau, sekiranya betul projek itu diadakan demi kebaikan rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri harus mengikuti kehendak rakyat untuk membatalkan projek itu.
“Tindakan kerajaan DAP ini agak mencurigakan seolah-olah ada udang di sebalik batu. Mereka tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk meraih keuntungan politik.
“Kita tidak faham mengapa mereka tidak mahu menerima keputusan lembaga rayuan itu dan masih berkeras kepala untuk melaksanakan projek yang akan memusnahkan ekosistem laut, padahal rakyat Pulau Pinang turut membantah pelaksanaan projek itu.
“Tindakan ini turut menimbulkan persoalan apa peranan yang dimainkan kerajaan Pulau Pinang dalam projek itu sehinggakan mereka mengambil sikap mengingkari suara rakyat dalam isu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, kerajaan Pulau Pinang seharusnya mengutamakan hak dan kepentingan rakyat dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini berbanding berusaha menjayakan projek PSR.
“Kerajaan DAP diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang untuk mendengar dan mewakili suara rakyat bukan berusaha menentang dan membelakangi keinginan mereka.
“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, mereka sepatutnya memikul tanggungjawab untuk merancang rancangan pembangunan yang memanfaatkan rakyat jelatanya, mempertahankan hak dan kepentingan rakyatnya, tetapi kerajaan Pulau Pinang pula berkeras untuk melaksanakan projek yang membawa impak negatif kepada kehidupan rakyat,” kata beliau.
Sehubungan itu, Tong Keong menggesa Kerajaan Pulau Pinang memberi penjelasan kepada rakyat negeri itu mengapa mereka enggan menerima keputusan Lembaga Rayuan JAS membatalkan kelulusan EIA projek PSR. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment