Wednesday, September 1, 2021

Industri pelancongan desa Yan dibaik pulih

 Oleh Noorazura Abdul Rahman

Muhammad Sanusi (tengah) bersama Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Kapten (B) Suhaimi Yahya (kanan) dan Timbalan Pengerusi PN Kedah, Datuk Mohd Shuhaimi Abdullah (kiri) melihat barang sumbangan untuk mangsa banjir di Pusat Operasi Bencana Bersatu Kedah di Kampung Acheh. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR   Muhammad Sanusi (tengah) bersama Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Kapten (B) Suhaimi Yahya (kanan) dan Timbalan Pengerusi PN Kedah, Datuk Mohd Shuhaimi Abdullah (kiri) melihat barang sumbangan untuk mangsa banjir di Pusat Operasi Bencana Bersatu Kedah di Kampung Acheh. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

YAN: Kerajaan negeri komited membaik pulih industri pelancongan desa di Yan yang terjejas akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan akan menyusun atur semula industri berkenaan termasuk menitik beratkan soal keselamatan selepas banyak calet musnah dalam tragedi terbabit.

"Antara yang akan diberi perhatian ialah pemulihan struktur bangunan calet yang terjejas di sepanjang sungai.

"Kita akan letakkan di bawah program Memulihkan Industri Pelancongan Desa dan mengenal pasti 14 pengusaha calet terjejas di sini," katanya ketika meninjau Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, proses pemulihan dijangka mengambil masa berikutan pelbagai aspek perlu diambil kira, termasuk status hak milik tanah struktur bangunan yang dibina atas rizab sungai.

Katanya, pembinaan semula perlu dilakukan di tanah bergeran.

"Kerajaan negeri ada undang-undang, mungkin dulu kita kurang cakna peraturan.

"Untuk pasca banjir dan bina semula bangunan itu perlu dipastikan tanah bergeran, ada kebenaran, kelulusan majlis daerah.

"Majlis Daerah Yan akan menentukan kaedah untuk memastikan semua struktur yang dibina mengikut peraturan dan undang-undang.

"Perkara ini penting untuk keselamatan pemilik dan pengunjung sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika menginap di situ," katanya.

Katanya, pengusaha yang terjejas akan menerima sagu hati menerusi program Memulihkan Industri Pelancongan Desa di Yan.

Pada 18 Ogos lalu, enam orang terkorban dalam kejadian banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Banjir itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.

No comments: