19 kluster baharu dikesan, 13 berkaitan tempat kerja
KUALA LUMPUR – Hanya 1.6 peratus atau 243 kes daripada 14,954 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hingga 12 tengah hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kategori tiga merujuk kepada pesakit yang mengalami radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut beliau, baki 14,711 kes atau 98.4 peratus pula adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.
“Daripada jumlah kes baharu itu, 11 adalah kes import melibatkan sembilan warganegara dan dua rakyat asing manakala 14,943 kes lagi adalah penularan dalam negara melibatkan 13,580 warganegara dan 1,363 rakyat asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam yang lepas, sebanyak 23,469 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah kes pulih dari COVID-19 dalam negara kini ialah 1,863,922.
Terdapat 1,194 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 882 kes disahkan positif COVID-19 dan 312 kes lagi adalah suspected, probable dan kes dalam siasatan.
Daripada jumlah terbabit, 665 kes memerlukan bantuan pernafasan merangkumi 401 kes disahkan COVID-19, sementara 264 kes adalah suspected, probable dan kes dalam siasatan.
Beliau berkata, sebanyak 19 kluster baharu dikesan dalam tempoh sama dengan 13 daripadanya berkaitan tempat kerja, empat berkaitan penularan dalam komuniti dan masing-masing satu kluster berkaitan pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) Malaysia semalam adalah 0.94 dengan Sarawak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.08, diikuti Pahang dan Terengganu (1.05) serta Johor dan Perak (1.01).
Sementara itu, berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW dan Github, sejumlah 324 kes kematian baharu dilaporkan setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu kini ialah 23,067 kes.
Bagaimanapun, daripada jumlah kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (18 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak.
Sebanyak 70 kematian baharu yang dilapor adalah kes yang berlaku di luar hospital.
Sejumlah 146 kes kematian
dilaporkan di Selangor, Johor (54), Kedah (24), Pulau Pinang (25), Perak
(15), Sabah (13), Kelantan (12), Sarawak (11), Melaka dan Kuala Lumpur
(masing-masing tujuh) serta Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing
lima). – Bernama
No comments:
Post a Comment