Wednesday, September 1, 2021

Bomba cari lelaki dipercayai tersesat dalam hutan

PADANG TERAP: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai tersesat selepas memasuki kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Alor Yoi, Jalan Nai Teh, Mukim Padang Temak, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan lelaki berkenaan, Mohd Faizal Ibrahim, 37, pada jam 4.52 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang diketuai Mohd Ariff Awang Kecik tiba di lokasi pada jam 5.06 petang.

"Operasi disertai lapan anggota dan dua jentera dari BBP Kuala Nerang.

"Setibanya di lokasi, mangsa dilaporkan hilang seawal jam 4 pagi dan dipercayai memasuki kawasan hutan berhampiran rumahnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi melaporkan memulakan pencarian dengan bantuan penduduk kampung membabitkan kawasan tali air di sawah padi dan kawasan kebun getah, tetapi setakat ini tiada petunjuk.

"Operasi pencarian malam ini diteruskan di kawasan sekitar rumah mangsa dan Pusat Kawalan Bomba (PKB) dibuka berhampiran rumah mangsa.

"Bagaimanapun operasi pencarian ditamatkan dan akan diteruskan esok," katanya.

No comments: