KOTA BHARU: Anggota bomba menemui barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000 dalam timbunan sisa kebakaran selepas selesai memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tembesu, Limbat, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah, berkata, selepas operasi pemadaman selesai dilakukan, pihaknya yang menemui barangan kemas ketika operasi itu, menyerahkannya kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata, antara yang ditemui anggota bomba termasuk gelang, rantai dan cincin di dalam timbunan sisa kebakaran.
"Kami menyerahkan barang kemas yang ditemui kepada keluarga mangsa sambil disaksikan pihak polis," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Mengulas kes kebakaran itu, El Taraff berkata, seramai 11 anggota dari BBP Pasir Tumboh dan Tunjong bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran pada jam 5.21 petang.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang rumah dan empat penghuni yang ada dalam rumah itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Akibat kebakaran itu, 85 peratus bahagian rumah separa kekal itu terbakar dan tindakan pantas anggota berjaya memadam api daripada terus merebak ke bahagian lain.
"Api dapat dikawal pada jam 5.41 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.23 petang. Punca kebakaran dan taksiran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
No comments:
Post a Comment