SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberi bantuan awal RM500 dan barangan asas kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang, malam semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut bagi kegunaan perbelanjaan mereka seperti kos pengeluaran barang dari rumah, perbelanjaan makan dan minum serta lain-lain lagi untuk tempoh tiga hari.
“Dalam tempoh tiga hingga empat hari ini, saya umumkan sama ada tempat ini selamat atau tidak berdasarkan laporan yang dibuat pihak bertanggungjawab.
“Kita akan lihat sama ada akan penduduk di sekitar perlu berpindah atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Ekonomi, Pembangunan Tanah, Sumber Alam, Komunikasi Strategik, Pendidikan, Pembudayaan Inovasi, SMART Selangor dan Pengurusan Bencana berkata, kerajaan negeri mendapati kawasan runtuhan adalah tanah hak milik persendirian.
Justeru menurutnya, mangsa terbabit akan melaksanakan langkah pemulihan yang disyorkan kerajaan negeri berdasarkan laporan itu.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meletakkan kanvas di kawasan runtuhan untuk mengelakkannya terdedah kepada air dan unsur-unsur lain yang mungkin menyebabkan kerapuhan pada struktur tanah.
“Saya telah minta anggota polis untuk nasihat penduduk yang tinggal di Lot 6, 8 dan 10 untuk keluar dari rumah mereka kerana kita khuatir berlakunya runtuhan susulan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment