Isnin, 2 Ogos 2021

Tiga tahanan diberkas, seorang masih bolos

Oleh SURAIDAH ROSLAN

  TIGA tahanan yang diberkas semula selepas melarikan diri dari pusat kuarantin di Penampang, Sabah hari ini. - IHSAN PDRM

KOTA KINABALU: Tiga daripada empat tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman) diberkas semula tidak sampai 24 jam mereka melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, ketiga-tiga tahanan itu diberkas di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Menggatal pada pukul 5.45 petang.

“Ketiga-tiga mereka lengkap berbaju kemeja-T dan berseluar semasa diberkas. Tangkapan ini hasil kerjasama anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan dibantu pasukan dari IPD Kota Kinabalu serta Ketua Balai Polis Menggatal.

“Kesemua mereka antara empat tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 Ilman pada 3.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga tahanan yang diberkas semula itu ialah Arippian Abdul, Mohd Diyazmir Razif Rudyaz dan Salman Arip.

Polis Penampang masih memburu Mohd Rahman Basir, 24, yang ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Mohd. Haris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan yang masih bolos ini untuk segera menghubungi bilik gerakan IPD Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: