Isnin, 2 Ogos 2021

4 sampel kes positif jangkitan Parlimen dipercayai varian delta

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

  DR. NOOR HISHAM ABDULLAH


PUTRAJAYA: Sebanyak empat sampel kes positif Covid-19 hasil saringan di Parlimen berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan kajian empat sampel itu melalui ujian saringan RT-PCR kes positif untuk analisis jujukan genom penuh yang diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

Menurut beliau, keputusan awal mendapati, hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

“Namun berdasarkan varian yang membimbangkan (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta.

“Untuk makluman, kajian klinikal di luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

“Penjujukan genom penuh (whole genomic sequencing) akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya, ” katanya dalam Facebook beliau malam ini.

Hasil saringan ujian Covid-19 di Parlimen mendapati, seramai 2,093 individu disaring sebelum mesyuarat bermula dan 56 kes positif dikesan.

Pengesanan kontak rapat pula mengesan empat lagi kes positif dan kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen sejak mesyuarat hari pertama.

Dua lagi kes positif dikesan di Parlimen pada 29 Julai melibatkan petugas yang hadir sejak 26 Julai manakala seorang lagi individu mempunyai gejala batuk dan loya.

Kementerian Kesihata turut mengambil langkah pencegahan antaranya termasuk menyediakan kit saringan kendiri RTK Antigen.

Hasil saringan terhadap 1,183 individu membawa kepada sembilan lagi kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes (seorang RT PCR positif) dan 10 orang (RTK Ag positif) dengan lima daripadanya bergejala.

Daripada kesemua positif yang dikesan, terdapat lima kes yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi manakala hanya dua individu yang mempunyai sejarah vaksinasi lengkap melepasi 14 hari.

Kementerian Kesihatan turut melaksanakan saringan terhadap 100 individu pada 30 Julai bagi pra persidangan Dewan Negara sebelum mendapati sembilan lagi kes positif dikesan hasil ujian RT-PCR.

Susulan itu, kementerian berkenaan mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula Khamis lalu.

Cadangan itu susulan hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi walaupun jumlah kes positif yang dikesan semasa sidang lalu adalah 0.8 peratus.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: