Rabu, 25 Ogos 2021

Telefon bimbit mangsa kes tembak anggota TUDM dianalisis

TELEFON bimbit milik mangsa kes tembakan melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Sarawak 13 Ogos lalu diambil polis bagi membantu siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kesemua telefon bimbit itu dihantar ke forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk analisis bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian.

Pada masa sama, Aidi berkata, sampel barang kes meliputi sampel asid deoksiribonukleik (DNA), senjata api dan kelongsong peluru juga telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisis saintifik.

“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bedah siasat ke atas kesemua mangsa telah dijalankan dan jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing.

“Polis juga sedang menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya setelah siasatan lengkap dan laporan pakar diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas, 13 Ogos lalu.

Semua anggota TUDM yang terkorban dalam kejadian itu berasal dari Sarawak dan sudah berkahwin.

Anggota terbabit adalah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu dan Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi anggota, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, yang berasal dari Siniawan, Bau, meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di perut.

Tiada ulasan: