Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dimasukkan di hospital swasta di Shah Alam hari ini menerima lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beberapa keping gambar dikongsi dalam media sosial oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan dan berharap Zahid segera pulih daripada sakit dialaminya.
“PM (Perdana Menteri) melawat DS (Datuk Seri) Zahid malam ini. Semoga Presiden UMNO kembali sihat dengan izin Allah,” katanya dalam akaun Facebook.
Terdahulu, kes Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, ditangguhkan berikutan beliau perlu menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang, pagi ini.
Kes itu hari ini ditetapkan untuk hujahan lisan, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.
Bagaimanapun, sebaik saja prosiding itu bermula, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani rawatan intervensi sakit.
Katanya, Zahid mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan