Selasa, 24 Ogos 2021

Sidang Parlimen pada 6 September diteruskan mengikut jadual


Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesahkan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berjalan mengikut jadual ditetapkan padad 6 September ini.

Rashid berkata tiada perubahan notis diberikan berhubung tarikh persidangan dan mesyuarat itu akan berlangsung seperti biasa, bagaimanapun tidak pasti sama ada usul undi percaya akan dibawa pada sidang tersebut.

“Setakat ini tiada notis perubahan dan tiada notis baharu dikeluarkan. Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman,” katanya lapor sebuah portal.

Berdasarkan takwim dan Aturan Urusan Mesyuarat disiarkan di portal rasmi Parlimen, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

Beliau dilaporkan berkata, istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

“Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021.

“Mesyuarat kedua pula berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya.

Perdana Menteri (PM) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah pada Sabtu lalu bagi menggantik Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan.

Sidang Parlimen kali ini merupakan yang pertama akan dipengerusikan Ismail Sabri selepas dilantik PM Ke-9.

Tiada ulasan: