Selasa, 24 Ogos 2021

Kumpulan baju hitam minta orang ramai bayar kompaun? Memalukan!


Memalukan! Sudahlah menganggu ketenteraman orang awam dan melanggar undang-undang negara, kini kumpulan baju hitam yang dikaitkan dengan pro kem pembangkang, merayu pula orang ramai membayar kompaun mereka.

Merayu simpati kepada masyarakat yang juga dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19, termasuk ramai yang hilang kerja, untuk membayar kompaun mereka, adalah perbuatan paling hina.

Ini kerana mereka sendiri yang sengaja melanggar undang-undang dengan mengadakan perhimpunan tanpa permit dan tidak mematuhi peraturan kawalan penyakit, kini ada hati untuk membebankan orang lain.

RM62,000 yang dirayu kumpulan baju hitam itu daripada orang ramai bukan sedikit nilainya, malah boleh membeli banyak bakul makanan untuk bantuan orang ramai yang terkesan akibat Covid-19.

Mereka sepatutnya melutut kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong mereka seperti Tian Chua dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, merayu meminta wang membayar kompaun itu, bukan meminta daripada orang ramai yang telah sedia susah ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Berani buat beranilah tanggung, kata netizen yang mengulas rayuan kumpulan baju hitam itu, yang turut disifatkan memalukan anak muda, terutama yang berbangsa Melayu.

Kumpulan itu mengadakan perhimpunan pada 19 Ogos lalu kononnya untuk mengenang rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19, sebaliknya mereka hanya mahu menunjuk-nunjuk dan berseronok sahaja.

Semua 31 anggota kumpulan baju hitam itu diangkut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan ditahan mengikut tiga seksyen undang-undang Malaysia.

Tiga undang-undang itu ialah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman; Seksyen 21A Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1985; dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

Mereka dikenakan kompaun RM2,000 tiap seorang. Kumpulan baju hitam itu membuat rayuan kepada orang ramai menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Solidariti Rakyat bagi pihak Persatuan Pengundi Muda.

Tiada ulasan: