Rabu, 4 Ogos 2021

Saya silap sertai himpunan MP pembangkang semalam: Tun M


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapan hadir pada perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, semalam.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tersilap menyertai perhimpunan Ahli-Ahli Parlimen (MP) pembangkang di Dataran Merdeka, semalam, tatkala wabak Covid-19 masih menular di negara ini.

Malah beliau berpendapat perhimpunan seperti itu tidak sepatutnya diadakan kerana boleh menyebabkan virus Covid-19 merebak di kalangan peserta yang duduk dekat tanpa penjarakan fizikal.

Bercakap pada satu forum ‘Solusi Selamatkan Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di dalam Reset Malaysia hari ini, beliau mengakui melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

“Soal sop… itu saya dapati cukup susah.. saya mengaku saya sendiri dah buat salah…

“Semalam saya hadir dalam perjumpaan wakil rakyat… saya fikir nak duduk dalam kereta la.. tak payah la keluar… nak tunjuk saya pun sokong,” katanya.

Bagaimanapun MP Langkawi itu berkata beliau menyertai perhimpunan itu setelah melihat terlalu ramai orang yang ketika itu turut memberi syarahan.

“Tapi bila sampai di situ orang dah berkumpul di situ bagi syarahan… saya pun pergi sama dan saya pun duduk dekat dengan orang… mujurlah hari ni saya test sekali lagi negatif lah,” katanya.

Sambil mengakui beliau tidak sepatutnya melakukan hal demikian, Dr Mahathir berkata jika hendak mengadakan perjumpaan boleh dilakukan secara maya menggunakan aplikasi Zoom.

“…Tapi itu sepatutnya saya tak lakukan .. sepatutnya perhimpunan seperti itu tidak harus diadakan. Kalau kita nak ada perjumpaan, kita boleh berjumpa on the screen.. kita guna Zoom.

“Kalau nak protes pun kita guna Zoom.. supaya kita jangan dekat dengan orang,” katanya.

Tiada ulasan: