Rabu, 4 Ogos 2021

Azmin keluar Bersatu masuk Pejuang? ‘Itu tidak benar’

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
MOHAMED AZMIN ALI

PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan satu berita tular yang mendakwa Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti itu setelah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu dimaklumkan oleh satu hantaran Facebook Parti Pejuang semalam.

Malah parti itu juga menafikan pernah mengeluarkan satu kenyataan yang memaklumkan pihaknya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tidak benar,” jelas hantaran itu.

Terdahulu, tular satu hantaran Facebook yang mengatakan wujud perundingan Mohamed Azmin selaku Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk keluar Bersatu dan menyertai Pejuang sedang dilakukan.

Selain itu, tular kenyataan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan parti itu menyokong Kerajaan PN.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memaklumkan pihaknya mengambil pendirian tidak membuat sebarang ulasan berhubung perkembangan politik semasa.

Katanya, parti itu merafak sembah menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong agar fokus perlu diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat sejak lebih 17 bulan akibat pandemik Covid-19.

“Pejuang mengambil pendirian tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: