Khamis, 19 Ogos 2021

Penduduk terjejas banjir kilat tunggu bantuan tiba

 Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Sebuah keluarga menanti bantuan di hadapan rumah mereka di Kampung Sulup di Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Penduduk di Kampung Sulup, Teluk Kumbar di sini yang terjejas dalam kejadian banjir kilat sejak petang tadi kini hanya menanti bantuan tiba.

Tinjauan Kosmo! di sini sekitar pukul 8 malam tadi mendapati masing-masing penduduk berada di tempat tinggi di pekarangan luar rumah termasuk di tingkat atas kediaman separa kayu itu.

Masing-masing mereka dikatakan menunggu bantuan makanan yang bakal disalurkam daripada pihak berwajib.

Seorang penduduk, Zaidi Awang, 50, berkata, keadaan air di kawasan kediamannya ketika ini (setakat pukul 8 malam) hampir mencecah paras pinggang.

“Kami kini menunggu bantuan makanan tiba disebabkan tidak dapat keluar dari kawasan ini termasuk tidak berani tinggalkan rumah dalam keadaan sebegini.

“Keadaan air semakin naik manakala hujan lebat turun tanpa henti sejak petang tadi. Air naik dengan mendadak dari paras betis pada pukul 4 petang tadi.

“Sudahlah risau dengan penularan jangkitan wabak Covid-19. Inikan pula berdepan kejadian sebegini,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi. – K! ONLINE

Tiada ulasan: