PETALING JAYA: Kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti perlu memberi keutamaan kepada isu yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, antara isu yang dibangkitkan adalah seperti pindaan akta kerja, kajian gaji minimum, pekerja kontrak kerajaan, sektor ekonomi gig dan isu pekerjaan yang tidak selesai oleh kepimpinan lama.
Katanya, MTUC juga akan bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan baru bagi memperbaiki sistem pekerjaan dan memperjuangkan kebajikan pekerja.
“MTUC mengharapkan pertukaran kerajaan yang berlaku adalah untuk keperluan dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik. Pertimbangan ahli politik dalam menentukan masa depan negara mestilah melangkaui fahaman mereka.
“Kita juga mahu melihat perubahan pimpinan negara akan memberi kesan berganda kepada pemulihan ekonomi dan keadaan kesihatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Kamarul Baharin, MTUC turut mengharapkan kepimpinan baru menyediakan pelan yang lebih baik termasuk Pelan Percepatkan Pemulihan (PPP).
“Namun, jika sekadar pelan atau rancangan, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya gagal mendapat sokongan dari rakyat. Impian MTUC agar kepimpinan baru akan mengambil pendekatan mendengar suara rakyat sebelum menjadikan sesuatu perkara sebagai dasar.
“Di samping itu, pekerjaan, gaya dan pendekatan perlu diubah bagi menjaga dan memulihkan kepercayaan pekerja. Kaedah ‘mesra pekerja’ perlu diserap dalam sebarang dasar pekerjaan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan