Jumaat, 20 Ogos 2021

Penduduk bertungkus-lumus bersih rumah akibat banjir

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
SEBAHAGIAN penduduk di Teluk Kumbar, Pulau Pinang masih membersihkan rumah mereka sehingga lewat petang hari ini selepas dinaiki air sehingga ke paras lutut akibat banjir kilat petang semalam.

GEORGETOWN: Mangsa banjir di Teluk Kumbar di sini, terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit berikutan barangan kelengkapan rumah termasuk tikar getah rosak akibat ditenggelami air. 

Tinjauan Utusan Malaysia di empat kawasan terlibat iaitu di Kampung Sulup, Kampung Paya, Kampung Masjid dan perumahan kluster di Lengkok Kampung Masjid di sini sehingga petang tadi mendapati penghuni masih membersihkan kediaman mereka. 

Rata-rata mereka didapati mengeluarkan semua barangan perabot yang terjejas termasuk menjemur kain langsir, tikar getah serta permaidani di luar rumah. 

Seorang penghuni, Nor Azli Bahari, 49, berkata, dia menganggarkan kerugian yang dialaminya akibat bencana tersebut hampir RM5,000. 

Menurutnya, kesemua barangan berharga seperti sofa, almari baju, meja kayu, tikar getah dan permaidani rosak akibat ditenggelami air. 

“Bukan setakat itu, kasut kerja dan harian juga telah dihanyutkan air dan hilang dibawa arus. Kami terpaksa menanggung kerugian yang agak besar akibat bencana ini,” katanya di sini. 

Nor Azli memberitahu, kerja-kerja pembersihan di segenap ruang dalaman rumah masih lagi diteruskan sejak awal pagi ini, sebaik sahaja air surut mulai pukul 12 tengah malam tadi. 

“Ketika ini, masing-masing penduduk sedang bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman yang terjejas termasuk membasuh dinding kediaman yang terjejas lumpur. 

“Kami menjangkakan kerja-kerja pembersihan ini akan selesai dijalankan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi,” tambahnya. 

Sementara itu, penghuni perumahan kluster di Lengkok Kampung Masjid, Noorbi Ahmad, 65, pula memberitahu, kerja-kerja mengemas  dan membasuh rumahnya selesai dijalankan awal pagi tadi. 

“Cuma pagi tadi hanya buang sampah-sarap yang terperangkap di dalam rumah selepas dibawa masuk arus banjir. 

“Kawasan perumahan kami memang menjadi lokasi banjir kilat sekiranya hujan tanpa henti sepanjang hari. Disebabkan itu, saya memang menggantikan semua perabot kayu dengan plastik kecuali perabot televisyen,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: