Khamis, 12 Ogos 2021

Kesesakan di PPV, polis ambil tindakan segera

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Tangkap layar video memaparkan warga asing gagal mematuhi SOP ketika berpusu-pusu untuk mendapatkan vaksin di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Pasukan Pematuhan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel Grand Season di sini yang sebelum ini ditularkan kerana dipenuhi orang ramai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah terkesan video tular berdurasi tujuh minit 15 saat itu yang ditularkan di media sosial memaparkan kesesakan orang ramai di lokasi berkenaan.

“Polis Dang Wangi telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Pasukan Pematuhan mengawal keadaan termasuk membuat hebahan agar orang ramai yang hadir mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

“Arahan dikeluarkan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pasukan Pematuhan berjaya mengawal keadaan di pusat tersebut sehingga program vaksinasi selesai dilaksanakan.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang penularan satu video memaparkan ratusan warga asing berpusu-pusu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’ di ibu negara dan didakwa gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Lebih menakutkan, kumpulan warga asing itu bukan sahaja dilihat gagal menjaga penjarakan sosial ditetapkan, malah ada di antara mereka dilihat seakan-akan ‘berpeluk’ berikutan berada terlalu dekat. – K! ONLINE

Tiada ulasan: