Rabu, 11 Ogos 2021

Menteri tiba di Perdana Putra untuk pertemuan ketua parti PN

Kenderaan membawa Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin 
memasuki Perdana Putra pada 3.47 petang tadi.

PETALING JAYA: Beberapa kenderaan membawa anggota Kabinet dilihat memasuki Perdana Putra di Putrajaya bermula 3.30 petang tadi dipercayai bagi membincangkan isu sokongan majoriti untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Kenderaan yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan dilihat memasuki bangunan Pejabat Perdana Menteri itu pada 3.40 petang, disusuli Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin tujuh minit kemudian.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dijangka mempengerusikan perjumpaan khas ketua parti PN bagi membincangkan “langkah seterusnya” untuk kerajaan pimpinan beliau yang berusia 17 bulan.

Terdahulu, FMT melaporkan pertemuan berkenaan akan diadakan selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Dipercayai, mesyuarat tertutup itu akan mengupas rancangan  mempercepatkan sidang Parlimen ke minggu depan dan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum diadakan.

“Nampaknya ada tekanan kepada Perdana Menteri supaya membuat usul undi percaya lebih awal dan tidak menunggu hingga persidangan Dewan Rakyat September ini,” kata sumber sambil menambah keputusan dijangka dibuat hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan rutin dengan Perdana Menteri sebelum mesyuarat Jemaah Menteri dilaporkan mengingatkan Muhyiddin peruntukan dalam perlembagaan berkaitan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Menurut sumber di Istana Negara, Agong tidak secara eksplisit menitahkan Muhyiddin yang dikatakan kehilangan sokongan majoriti supaya meletak jawatan.

“Namun, Tuanku menyentuh Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata sumber itu kepada FMT.

Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletak jawatan dalam Jemaah Menteri, melainkan atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

Tiada ulasan: