HARAKAH DAILY
YAN: Kerajaan negeri menggerakkan semua agensi dan
jabatan bagi menangani bencana kepala air di Daerah Yan dan Kuala Muda
yang berlaku petang semalam.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bilik gerakan peringkat daerah dan negeri juga telah diaktifkan.
Katanya,
Pasukan Bomba dan Penyelamat menggerakkan pasukan Search and Resque
(SAR) di semua lokasi yang dilaporkan terdapat mangsa yang terperangkap
dan hilang.
“Tiga mangsa yang terkorban telah diturunkan dan diserahkan kepada PDRM untuk dibawa ke hospital untuk urusan selanjutnya.
“Operasi mencari tiga orang yang dilaporkan masih hilang dihentikan jam 1.05 pagi dan akan disambung jam 7 pagi ini,” katanya di sini malam tadi.
Turut berada di lokasi kejadian Ketua Polis Kedah Dato’ Kamarul Zaman Mamat.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB Daerah Yan) membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Rela).
Turut dibuka pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan melibatkan 60 mangsa.
Manakala mangsa yang positif seramai 14 orang dan kuarantin (45 orang) akibat Covid-19, di mana mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi. Kedua-dua penempatan dipantau rapi semua agensi berdasarkan SOP yang sedia ada.
Sehubungan itu Menteri Besar merakam ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan cedera tragedi ‘kepala air’ di Yan dan Kuala Muda.
Beliau juga menasihatkan penduduk tempatan sentiasa berjaga-jaga kerana hujan masih turun di kawasan terbabit.
Menurutnya juga Pegawai Daerah Yan Tengku Iskandar yang mengetuai PKOB Daerah Yan akan menguruskan tindakan lanjut untuk membantu penduduk yang terkesan dengan bencana tersebut.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampiran termasuk Majlis Daerah Pendang, MPSPk, MBAS, Sik akan digerakkan membantu Majlis Daerah Yan membersihkan kawasan, pemindahan dan logistik.
“Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan menghantar bekalan air ke kawasan yang terputus bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air akibat kelodak dan lumpur,” katanya.
Sementara itu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah memberitahu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir melibatkan beberapa kampung di daerah Kuala Muda.
Antara kampung yang terjejas Kampung Baru Gurun, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Kunyit Atas, Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu.
Menurut APM paras air meningkat sehingga 1.5 meter menyebabkan kediaman dinaiki air dan penduduk terpaksa dipindahkan.
“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibuka iaitu di Surau Taman Gurun Jaya dan Rumah No.126 Kampung Sungai Badak 3, di mana kedua-dua PPS itu menempatkan 27 mangsa dari tujuh keluarga,” katanya pada satu kenyataan.
APM turut memaklumkan keadaan cuaca ketika ini semakin baik dengan air mulai surut walaupun hujan masih renyai-renyai. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan