Rabu, 25 Ogos 2021

Johor kini penyumbang kematian tertinggi Covid-19

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PETUGAS Skuad Tajhiz, JHEAINS ketika menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Ainsdale, Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PUTRAJAYA: Johor buat kali kedua berturut-turut mencatatkan jumlah kematian tertinggi Covid-19 dengan melibatkan 41 kes daripada 211 kes hari ini, sekali gus mengatasi Selangor yang menjadi penyumbang tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Johor semalam mencatatkan 53 kematian daripada jumlah harian iaitu 174 manakala Selangor hanya mencatatkan tujuh kes.

Bagi kes kematian hari ini katanya, selain Johor, Selangor mencatatkan 36 kes diikuti 32 kes di Kedah, 23 kes di Pulau Pinang, 17 kes di Sabah, 16 kes di Perak, 12 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Kuala Lumpur, sembilan kes di Pahang, lima kes di Terengganu, masing-masing tiga kes di Kelantan dan Melaka, serta masing-masing dua kes di Sarawak dan Perlis.

“Kematian hari ini melibatkan 116 lelaki dan 95 perempuan dengan 24 warga asing serta 169 kes mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Selain itu, 40 kes kematian di rumah termasuk 14 warga asing manakala 171 kes termasuk 10 warga asing meninggal dunia di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 20,837 kes berbanding semalam, 17,672 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 18,613 kes dengan 1,063 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 511 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 262,713 kes aktif.

Kata beliau, daripada jumlah kes positif itu, sebanyak 358 kes adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala selebihnya terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 16,949 kes atau 81.3 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar kes positif apabila merekodkan sebanyak 4,645 kes diikuti Sabah (3,376), Pulau Pinang (2,054), Kedah (1,772), Johor (1,743), Sarawak (1,543), Kelantan (1,422), Kuala Lumpur (1,284) dan Perak (1,242).

“Empat negeri mencatatkan kes tiga angka iatu Pahang (521), Melaka (396), Terengganu (383) dan Negeri Sembilan (351).

“Satu negeri dan dua wilayah mencatatkan kes di bawah 100 iaitu Perlis (74) dan Putrajaya (27) manakala Labuan hanya empat kes,” katanya.

Mengulas mengenai 34 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 22 kluster diikuti sembilan kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan.

Kluster tempat kerja katanya, enam di Selangor, enam di Pulau Pinang, tiga di Kelantan, tiga di Johor, dua di Melaka manakala Sabah dan Perak, masing-masing satu kluster.

“Kluster komuniti pula, empat di Kelantan, dua di Johor manakala Pahang, Sarawak dan Terengganu, masing-masing satu kluster.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi pula, satu di Kuala Lumpur serta satu di Selangor manakala kluster pusat tahanan, satu di Perlis, “ katanya.

Tiada ulasan: