Rabu, 25 Ogos 2021

Akibat seorang lesu, demam, sesak nafas, 3 kampung Orang Asli kena PKPD

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Tiga lagi perkampungan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Semai di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis.

Ia meliputi Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong disebabkan Kluster Sungai Kabuk berpunca daripada seorang bergejala sejak 14 Ogos dengan kes indeks dikesan akibat demam, lesu serta sesak nafas sebelum dihantar ke hospital dan disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos selain sudah menjangkiti 40 orang di tiga kampung.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD sehingga 8 September ini juga dikuatkuasakan di Sabah, antaranya Taman Sri Panglima, Beaufort dan Kuarters Kilang Mee Tien Hock di Penampang manakala baki empat lagi lokaliti ialah Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani di Tawau serta Kampung Sayap dan Kampung Rampayan Laut di Kota Belud.

“Enam lokaliti di negeri berkenaan yang sepatutnya berakhir PKPD esok disambung sehingga 8 September ini melibatkan Kampung Tengah, Kinarut, Papar; Kampung Menunggul, Kota Belud; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau; serta Kampung Pulau Penampang, Kampung Gudon, Menggatal dan Kampung Lobou di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bagaimanapun 14 lokaliti di Sabah tamat PKPD serentak esok dengan tiga daripadanya lebih awal daripada dijadualkan iaitu Kampung Tagibang, Kota Marudu; Kampung Tambulaung dan Kampung Tempasuk 1, Kota Belud.

Selebihnya berakhir seperti ditetapkan iaitu Kampung Batu-Batu, Tenom; Kampung Bukit Kukusan, Tawau; Kampung Batu 1, Sipitang; Kampung Pogunan, Penampang; Kampung Petagas, Putatan dan Kuarters Kilang J&L, Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD sejak 12 Ogos.

Sementara lima lagi lokaliti di Kota Kinabalu tamat esok seperti dijadualkan setelah dilaksanakan PKPD sejak 29 Julai iaitu Bandar Sierra, Bandaran Segama, Kampung Kalasanan, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya, selain di Pahang melibatkan Felda Jengka 25 di Temerloh serta Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Raub.

Begitu juga di Kelantan, Ladang Kerilla, Tanah Merah yang dikenakan PKPD sejak 29 Julai manakala di Kampung Kubang Sawa, Tumpat, ia tamat lebih awal berbanding sepatutnya 27 Ogos ini.

Tiada ulasan: