Segala kerja keras dicapai negara akan sia-sia jika masyarakat leka
BANGI – Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 diingatkan supaya tidak menyalah guna hak istimewa dan kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya masyarakat leka, segala kerja keras dan keuntungan yang dicapai negara akan menjadi sia-sia.
Beliau berkata, jika rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, negara berkemungkinan akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus COVID-19.
“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada populasi di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan COVID-19.
“Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan individu yang sudah menerima vaksin lengkap supaya kekal disiplin untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan.
“Sekiranya anda disahkan positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat kepada kes positif, pastikan menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.
“InsyaAllah kita berusaha dan tawakal. Allah SWT Maha Penyayang dan melindungi kita,” katanya.
Sebelum ini, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Antara
kemudahan yang dibenarkan adalah aktiviti dine-in di restoran, dengan
memastikan mereka yang memasuki premis mesti menunjukkn sijil digital
vaksinasi COVID-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan