Negara sebesar China menteri Kabinetnya sekitar 20-25 orang sahaja
PERDANA Menteri telah pun dilantik. Tahniah. Akan diikuti dengan pembentukan Kabinet. Tugas yang amat berat menanti, mengurus negara ketika pandemik dan krisis memuncak. Beberapa perkara perlu diambil kira.
Pertama, tidak perlu kepada kerajaan perpaduan, kerana ramai pakar dan profesional berada di dalam dan di luar parti. Menjemput pembangkang, terutama jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), akan menjadikan keadaan huru-hara, terutama rahsia kerajaan yang tidak mustahil dibocorkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tidak mustahil pembangkang turut berperanan menjatuhkan kerajaan dari dalam, berdasarkan kepada bukti-bukti sebelum ini. Kalau ketika di luar kerajaan pun sudah huru-hara, bagaimana apabila berada di dalam. Sukar dipercayai. Tengok sahaja gelagat mereka di Parlimen ketika rakyat susah.
Kedua, jika jawatan TPM menimbulkan masalah dek kerana perebutan daripada pelbagai parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak, maka wujudkan semula jawatan Menteri Kanan. Lantik dari dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN), UMNO, Bersatu, PAS, GPS atau GRS. Kekananan kementerian ini mestilah berkait rapat dalam tatacara menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi serta kebajikan rakyat.
Ketiga, kecilkan Kabinet. Ia memang sukar untuk dilakukan kerana 114 ahli sedang menunggu untuk dilantik. Tidak logik langsung, negara sekecil Malaysia, mempunyai terlalu banyak kementerian dan menteri dan timbalan yang akan mengetuainya. Negara sebesar China dengan penduduk 1.4 bilion, dan negara-negara maju lain, menteri Kabinetnya sekitar 20-25 orang sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa dengan mengecilkan, akan menimbulkan rasa tidak puas hati, maklumkan, wakil-wakil parti berlainan agak banyak, tetapi inilah tuntutan pengorbanan dalam ‘Kabinet perang’. Kebajikan rakyat jauh lebih penting daripada lain. Jika wakil rakyat tidak sanggu berkorban untuk rakyat dan negara, jangan jadi wakil rakyat. Hentikan pembaziran wang rakyat.
Keempat, hentikan pelantikan senator ke jawatan menteri dan timbalan, kerana ia tidak membawa manfaat kecuali, kementerian kritikal yang memerlukan kepakaran tertentu, terutama yang berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi. Menteri agama tidak perlukan senator untuk menjadi menteri, kerana ramai lagi Ahli Parlimen berlatar belakangkan agama. Lagipun sudah tentu 114 Ahli Parlimen PN sedang menantikan-nantikan jawatan untuk mereka. Senator-senator yang ada sudah tentu akan menghalang mereka. Jika pelantikan senator terus dibuat, sudah tentu akan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka. Mereka akan mempersoalkan apakah mereka layak untuk jawatan itu?
Kelima, pastikan menteri dan timbalan yang dilantik, ada watak pendamai dan qawiy al amin. Watak pendamai ini amat penting dalam situasi krisis politik hari ini. Lebih-lebih lagi mereka yang berwibawa, amanah dan bersih latar belakangnya daripada segala skandal dan rasuah.
Keenam, dalam menghadapi PRU15, memberikan jawatan kepada pembangkang dalam Kabinet, tidak akan menguntungkan dari segi strategi. Memang ia baik dan telah pun berlaku sebelum ini, juga di negara lain, tetapi belum sesuai untuk di Malaysia, kerana di dalam kalangan kita ramai si kitol dan mandeliar.
Akhirnya, banyak lagi yang mahu disebut, cukuplah setakat ini dahulu. Apapun rakyat sedang melihat kamu semua wahai Ahli Parlimen, pemimpin negaraku. Rakyat menuntut pengorbanan wakil rakyat ketika mereka sedang susah. Ingat! Rakyat melihat apa yang kamu buat, bukan yang kamu cakap. Cakap tak serupa bikin tidak ada erti, jika tidak diterjemahkan. Lakukan segera. ISMA WEB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan