KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengatasi beberapa cabaran besar khususnya mengembalikan keyakinan terhadap kestabilan politik negara, menangani pandemik COVID-19 dan menguruskan pelbagai masalah rakyat.
Beberapa veteran politik berpandangan ketiga-tiga perkara itu perlu dijadikan keutamaan dan tidak melayan kerenah politik yang merugikan kerana ia akan menjadi penghalang dalam merealisasikan agenda negara.
Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa, berkata Perdana Menteri kesembilan perlu fokus kepada kerja, dengan menjadikan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang bagi mengelakkan berulangnya kemelut politik yang tidak sihat.
"Jangan layan sangat masalah kepartian, agenda kelompok dan individu tertentu, yang penting fokus kepada masalah sedang kita hadapi sekarang.
"Bakal Perdana Menteri kita ada pengalaman besar kerana pernah menjadi Menteri Kanan bagi menangani masalah COVID-19 sebelum ini, jadi ia bukan satu perkara baharu untuk Ismail Sabri. Cuma, beliau perlu melipatgandakan lagi usaha supaya negara bebas daripada pandemik ini," katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dan akan menjalani istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan, jam 2.30 petang esok.
Othman berkata, barisan Kabinet yang akan dibentuk juga sewajarnya dikecilkan dengan mengisi jawatan yang utama dan mendesak sahaja.
"Perlu lantik orang yang boleh buat kerja dan individu ini mestilah diyakini serta mendapat kepercayaan rakyat.
"Bukan pilih parti, pilih kawan, bukan juga atas permintaan pihak tertentu. Cukuplah barisan Kabinet ada kurang daripada 10 orang sahaja, misalnya bagi kementerian yang tidak perlu ada menteri, memadai diisi dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) atau isi jawatan menteri tanpa TPM.
"Ini bukan masanya untuk bentuk Kabinet yang besar, mereka yang dilantik nanti perlu buat dua tiga kerja kerana negara berdepan pelbagai masalah besar ketika ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkongsi pandangan selari iaitu sebaiknya Kabinet yang ditubuhkan nanti diisi dengan beberapa kementerian penting sahaja.
"Cukup dengan beberapa kementerian yang amat diperlukan seperti kewangan, pendidikan, pertahanan dan dalam negeri dan jika ada kementerian yang didapati berlaku pertindihan tugas, lebih baik digabungkan.
"Tindakan ini wajar kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan negara, selebihnya serahkan kepada teknokrat dalam kalangan pegawai kerajaan yang layak dan berpengalaman bagi menentukan perjalanan sesebuah kementerian," katanya.
Mengulas kemungkinan Ismail Sabri bakal berdepan 'tekanan hebat' terutama daripada parti politik pembangkang, katanya, ia sudah tentu ada dan sukar untuk dielakkan.
"Hendak lari terus daripada kerenah politik sememangnya sukar, cuma diharapkan semua pihak akan dapat memahami mesej yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya kerjasama positif antara pelbagai parti politik dapat terjalin secara harmoni.
"Benda (kerajaan baru dibentuk) ini tidak lama, paling lama adalah sehingga 2023 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, jadi jika boleh (semua parti politik) tunggulah sehingga PRU," katanya.
Veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata cabaran terbesar Ismail Sabri ketika ini tertumpu kepada cara beliau menangani ketidakstabilan politik yang berlarutan dan mewujudkan Kabinet yang disenangi semua pihak.
"Ismail Sabri perlu fokus pada keperluan mendesak, ketepi politik tak sihat
"Selain itu, beliau perlu menumpukan isu perpaduan dan meletakkan kepentingan rakyat di tempat tertinggi, terutama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan