KUALA LUMPUR: Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) bimbang kelonggaran diberikan kerajaan kepada individu lengkap vaksin dalam negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan membebankan, sekiranya ramai yang enggan patuh kepada arahan dan prosedur operasi standrad ditetapkan.
Meskipun langkah itu merisaukan, namun GKV STF turut memandang pendekatan itu dilaksana berdasarkan pertimbangan di antara nyawa dan sumber kehidupan rakyat Malaysia.
Komander Bersama GKV STF, Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen, berkata kelonggaran dan kemudahan yang diumumkan kerajaan itu tidak seharusnya dipandang ringan oleh orang ramai, yang sepatutnya meneruskan usaha menjaga keselamatan diri.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan itu juga berdasarkan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam beberapa perkara, khususnya berkaitan jumlah peratusan penduduk negara yang sudah divaksinasi.
"Mengenai pembukaan ini, sudah tentu kita risau tetapi harus diakui perkara berkaitan kehidupan juga penting, selain daripada nyawa.
"Dalam proses pemulihan negara, kita kena sedar bahawa kita bukan sekadar mahu memelihara sistem kesihatan semata-mata tetapi perkara lain juga seperti perjalanan ekonomi dan pendidikan juga sama penting.
"Jadi kita faham, setiap keputusan (dalam tempoh pandemik) dipertimbangkan di antara nyawa dan kehidupan. Disebabkan itulah kita perlu belajar untuk hidup dengan wabak ini," katanya kepada dalam sidang akhbar, di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini.
Semalam Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan beberapa kemudahan termasuk aktiviti 'dine-in' atau makan di restoran dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin dalam negeri Fasa 1 PPN, berkuat kuasa hari ini, antara yang diputuskan dalam Sidang Khas MKN.
Muhyiddin berkata, kemudahan tambahan lain termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu.
Mengulas lanjut Dr Mohd Arshil berkata, orang ramai juga perlu mengambil serius nasihat Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya semua pihak tidak mengambil mudah walaupun kemudahan serta kelonggaran diberikan kerajaan.
"Jangan ambil mudah, apa yang dilakukan sekarang adalah bertujuan untuk menjaga ekonomi negara dan pembukaan itu bukan kerana keadaan sudah benar-benar selamat.
"Semua orang perlu mematuhi setiap arahan dan SOP yang diarahkan kerajaan seperti sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, pembukaan dan kelonggaran yang diberikan kerajaan hari ini adalah antara norma baharu kehidupan yang perlu diikuti semua pihak.
"Banyak negara sudah bergerak dari strategi pengurusan COVID-19 kepada endemik COVID-19, bermakna virus ini sentiasa ada dalam kehidupan kita, cobtohnya seperti denggi.
"Kebimbangan kami adalah rakyat Malaysia enggan belajar untuk hidup dengan virus ini dan selesa dengan keadaan itu, ia menjadi akan menjadi satu masalah kami yang berusaha untuk memerangi wabak ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan