PETALING JAYA: Polis mengesahkan merakam keterangan pendakwah terkenal, Ebit Lew, bagi membantu siasatan kes gangguan seksual di Bukit Aman hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan berkata, siasatan kes akan diteruskan sehingga ia berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Jalil memaklumkan polis akan mengeluarkan kenyataan mengenai seorang pendakwah terkenal dilaporkan akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan siasatan melibatkan gangguan seksual.
Ia susulan tular di media sosial mengenai video lucah yang menunjukkan lelaki mirip pendakwah itu.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes berkenaan disiasat dengan telus.
“Orang ramai juga dinasihati tidak membuat sebarang penyebaran apa-apa jua bahan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan